Sunday 19 April 2015

kepentingan inovasi dalam pendidikan

KEPENTINGAN PERUBAHAN DAN INOVASI KURIKULUM 


Pengurusan kurikulum bilik darjah merupakan proses menyempurnakan tempat dan lokasi, bahan dan sumber, rekod dan dokumen, komunikasi dan interaksi, ilmu, kemahiran, nilai, penilaian dan pentaksiran, pelajar dan pembelajaran dan kurikulum dan pengajaran. Akan tetapi menurut Goodlad (1973), kurikulum merupakan satu bidang yang sukar ditakrifkan (ill-defined) dan tiada kata sepakat mengenai sempadan ilmunya. Oleh sebab itu, seiring dengan peredaran zaman, dapat dilihat pelbagai perubahan yang telah berlaku dalam domain pengurusan kurikulum bilik darjah ini.

Perubahan dan inovasi dalam kurikulum bilik darjah itu juga merupakan salaha satu tahap dalam pengurusan bilik darjah di mana perubahan dan inovasi ini adalah hasil daripada refleksi kepada pelaksanaan kurikulum yang berlaku. Perubahan dalm inovasi kurikulum bilik darjah amat penting kerana asas pendidikan pelajar berlaku dalam bilik darjah. Perubahan dan inovasi kurikulum bilik darjah juga harus bergerak seiring dengan peredaran zaman dan perkembangan bidang sains dan teknologi yang sedang berkembang pesat. Keberkesanan pengurusan kurikulum bilik darjah adalah terletak pada tangan guru.

Perubahan dan inovasi kurikulum bilik darjah amat penting bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelajar yang telah berubah dari semasa ke semasa. Kurikulum pada zaman sekarang telah berubah di mana proses pembelajaran tidak hanya tertumpu dalam bilik darjah yang memencilkan murid dalam lingkungan empat dinding sahaja. Pelajaran pada zaman kini adalah secara kolaboratif dan tanpa sempadan. Oleh sebab itu, bagi menjadikan pelajar lebih aktif, kreatif, motivatif dan dinamik kurikulum bilik darjah perlu sentiasa diperbaharui.

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru. Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah “inovatif” yang bererti bersifat inovasi.  Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru.  (Zainal bin Haji Bujang, 2008)
Perubahan dan inovasi bilik darjah amat perlu bagi memastikan guru lebih berkemahiran. Oleh kerana keberkesanan inovasi bilik darjah adalah bergantung kepada guru, maka secara tidak langsung akan menjadikan guru sentiasa perlu melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat terkini dan juga kaedah-kaedah pengajaran yang baru dan sesuai. Antara ciri guru berinovasi adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.  Hal ini sejajar dengan pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan Cabaran Semasa iaitu guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif. Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman dalamAmalan Profesionalisme Perguruan, guru perlu cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan inovatif. Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010, mengemukakan bahawa guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif dan inovatif.”

Dengan adanya kurikulum bilik darjah yang sentiasa seiring dengan perkembangan zaman, guru akan sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata, selari dengan tujuan pendidikan seperti yang terdapat dalam Undang-Undang Malaysia iaitu Pendidikan 1995 iaitu untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran, dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saning tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Pendidikan pada abad ke-21 telah berubah tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah semata-mata. Dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, kurikulum bilik darjah juga perlukan perubahan dan inovasi untuk menghasilkan pelajar yang lebih aktif, kreatif, motivatif dan dinamik. Ini disebabkan oleh pelajar pada zaman kini sudah didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat yang terkini dan sekiranya tiada perubahan bagi kurikulum bilik darjah, mereka akan mudah bosan.

Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang tumpuan.  Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Antara kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan Alam Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa mereka sedang belajar.  Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang grafik manakala bagi murid yang kurang berminat untuk belajar.  Guru turut boleh mendorong pembelajaran pembelajaran aktif dengan menggunakan audio visual yang menarik selain daripada menggunakan banyak peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau menggalakkan murid menghasilkan sendiri bahan pembelajaran mereka.

Pengajaran dan pembelajaran juga tidak seharusnya hanya tertumpu di dalam kelas, sejajar dengan inovasi dalam kurikulum bilik darjah, takrif bilik darjah juga adlah semakin luas dan tidak boleh dihadkan dalam ruang empat dinding seperti pada abad ke-20. Dengan adanya inovasi seperti ini akan menjadikan pembelajaran semakin menarik dan pelajar tidak mudah bosan dan melahirkan generasi pelajar yang aktif, kreatif, motivatif dan dinamik

            Selain itu, perubahan dan inovasi bilik darjah adalah penting  bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan memudahkan pengawalan kelas oleh guru. Menurut Anderson (1989), mengatakan pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah terdiri daripada tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran, meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisyen.

Selain itu, antara ciri guru berinovasi antara lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.  Penyediaan persekitaran pembelajaran yang positif sememangnya merupakan suatu aspek yang amat penting.  Noraini Idris dan Shuki Osman, dalam Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan Praktis, menyatakan bahawa guru perlu menyediakan suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap pembelajaran semasa mengajar. 

Manakala menurut Choong Lean Keow, dalam Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku , persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan merujuk kepada iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur ruang fizikal, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah. 

Mook Soon Sang dalam Pengurusan Bilik Darjah & Tingkah Lakupula mengemukakan ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif yang merangkumi hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya serta kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan.  Menurut beliau perasaan kekitaan antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan juga antara ciri bilik darjah yang baik. Dari aspek iklim persekolahan yang kondusif,  iklim persekolahan yang kondusif adalah iklim persekolahan yang terbuka dan menggalakkan murid bebas berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah.  Seorang guru yang baik berupaya untuk mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar.

            Dengan adanya perubahan dan inovasi kurikulum bilis darjah ini juga boleh mengatasi masalah kekurangan bahan pembelajaran dan juga menjimatkan tenaga dan masa. Segala keperluan yang sukar disediakan oleh guru sebelum ini boleh digantikan dengan penggunaan-penggunaan teknologi sperti penggunaan perisian-perisian yang bersesuaian dan juga melalui simulasi ataupun animasi berkomputer yang dapat membantu para pelajar merasai pengalaman dan membayangkan yang tidak pernah mereka lalui. Selain penglibatan alatan-alatan yang berteknologi, dengan konsep inovasi kurikulum bilik darjah, guru boleh menggantikan bahan-bahan yang sukar diperoleh dengan menghasilkan model-model yang hampir sama menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi dan juga boleh melibat penglibatan kesuluruhan pelajar.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, 1994, memberi takrifan bahawa inovasi merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimaklumkan (seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain).  Inovasi atau pengenalam idea-idea baru dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahan-perubahan  prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan perubahan ini meningkatkan penghasilan kerja.Menurut INTAN, antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat kreativiti dan inovasi adalah sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.  Orang yang kreatif dan inovatif juga berani untuk untuk mencuba teknik dan kaedah baru bertujuan memudahkan sesuatu kerja selain suka bermain dengan idea dan berani mencuba. 

1 comment:

  1. assalamualaikum puan, mohon izin saya muat turun artikel ini

    ReplyDelete